PADA hari ini, kita beruntung kerana dapat dipertemukan sekali lagi dengan hari Jumaat yang penuh barakah. Ya, ia merupakan hari yang begitu istimewa sekali jika dibandingkan dengan hari-hari lain.
Ramai yang mengenali hari Jumaat sebagai penghulu segala hari ataupun sayyidul ayyam.
Meskipun gelaran sayyidul ayyam berkenaan datangnya daripada sebuah riwayat yang daif, namun ia sedikit pun tidak merencatkan kemuliaan pada hari Jumaat itu sendiri.
Rasulullah SAW bersabda: “Sebaik-baik hari yang terbit matahari padanya ialah hari Jumaat. Pada hari tersebut diciptakan Nabi Adam AS, dia dimasukkan ke dalam syurga dan dia dikeluarkan daripadanya. Dan pada hari tersebut, terdapat satu waktu yang mana jika seseorang Muslim berdiri mendirikan solat dan berdoa kepada ALLAH SWT akan sesuatu hajatnya, nescaya ALLAH SWT akan memberi apa yang dihajatkannya tersebut.” (Riwayat al-Bukhari)
Terdapat banyak kelebihan hari Jumaat sebagaimana yang diceritakan dalam al-Quran dan hadis. Selain hari yang mulia, Jumaat merupakan hari mustajabnya berdoa dan dihapuskan dosa. Lebih istimewa lagi apabila umat Islam berkumpul dan melakukan ibadah bersama-sama menerusi solat Jumaat.
Ketahuilah, terdapat banyak ganjaran yang disediakan oleh ALLAH SWT untuk kita raih pada hari Jumaat.
Bahkan, kita digalakkan untuk melakukan beberapa amalan sunat seperti membaca Surah al-Kahfi, mandi sunat Jumaat dan seumpamanya sebagai tanda mengagungkan hari Jumaat serta mengikut sunah Nabi Muhammad SAW.
Bagaikan satu amalan, kebanyakan umat Islam menjadikan hari Jumaat sebagai waktu untuk bersedekah. Apakah kelebihan bersedekah pada hari Jumaat? Bilakah waktu terbaik untuk melakukan sedekah pada hari berkenaan?
Amalan Alim Ulama
Menurut Pensyarah Akademi Pengajian Islam Kontemporari, Universiti Teknologi Mara, Ustazah Sharifah Fadylawaty Syed Abdullah, beliau menjelaskan, jika diteliti semula, tiada hadis atau dalil khusus yang berkait secara langsung tentang kelebihan sedekah pada hari Jumaat.
Namun, katanya, hal itu mungkin disinonimkan dengan dalil umum mengenai kelebihan-kelebihan hari Jumaat.
“Hal ini boleh kita lihat sebagaimana keutamaan sedekah pada bulan Ramadan. Begitu juga, mungkin ada banyak fadilat bersedekah pada hari Jumaat atas asbab kemuliaan hari Jumaat itu sendiri,” katanya dalam temu bual menerusi e-mel baru-baru ini.
Meskipun tiada dalil khusus, pendakwah itu menjelaskan, sebahagian para ulama ada menukilkan tentang keutamaan sedekah pada hari mulia berkenaan.
Umpamanya, Ibn Qayyim Al-Jawziyah dalam kitabnya, Zad Al-Maad menyatakan: “Bersedekah pada hari Jumaat ini lebih mulia berbanding hari-hari lain. Besarnya nilai gandaan ganjaran bersedekah pada hari Jumaat berbanding hari lain adalah seperti besarnya pahala amalan bulan Ramadan berbanding bulan-bulan lain.”
Selain itu, kata pensyarah berkenaan, bersedekah pada hari Jumaat juga merupakan antara amalan yang dipraktikkan oleh Syaikhul Islam Ibnu Taimiyah. Apabila keluar dari rumah untuk mendirikan solat Jumaat, beliau akan membawa roti atau makanan lain yang ada di rumahnya dan menyedekahkannya secara sembunyi di sepanjang jalan yang dilaluinya.
Dalam hal ini, tidak salah untuk kita mengikuti amalan baik orang-orang soleh, tambahan pula kita maklum bahawa amalan bersedekah ini amat mulia di sisi ALLAH SWT,” ujarnya.
Menyambung hujahnya, Ustazah Sharifah Fadylawaty menjelaskan, umat Islam digalakkan untuk bersedekah pada bila-bila masa khususnya sepanjang hari Jumaat.
Namun begitu, ujarnya, umat Islam disarankan juga untuk melakukan amalan mulia itu pada awal pagi atau Subuh kerana malaikat mendoakan kebaikan buat mereka yang sedekah.
Dalam satu hadis lain, Abu Hurairah RA berkata: “Seorang lelaki datang kepada Nabi Muhammad SAW dan berkata: ‘Wahai Rasulullah, sedekah apakah yang paling besar pahalanya.’
Baginda SAW menjawab: “Kamu bersedekah ketika kamu dalam keadaan sihat dan kikir, takut menjadi fakir dan berangan-angan jadi orang kaya. Maka, janganlah kamu menundanya hingga tiba nyawamu berada di halkum. Lalu kamu berkata, yang ini milik si polan dan yang itu milik si polan. Padahal harta itu sudah menjadi milik si polan (ahli warisnya).” (Riwayat al-Bukhari)
Sedekah Ketika Diri Kedekut
Berdasarkan hadis itu, jelaslah Nabi Muhammad SAW menyatakan, sedekah terbaik adalah ketika diri kita dalam keadaan sihat dan kedekut.
“Bagaimanapun, suka untuk saya kongsikan tarjih ulama mengenai waktu terbaik dalam hari Jumaat yang mungkin boleh kita ambil peluang melaksanakan infak pada waktu tersebut.
“Berdasarkan kepada perbahasan dan dalil-dalil, antara waktu yang mustajab pada hari Jumaat adalah selepas Asar sehinggalah terbenamnya matahari.
“Ini kerana, dalil-dalil yang dikemukakan oleh pihak ini lebih banyak dan kuat. Selain itu, amalan para sahabat dan salaf juga menunjukkan bahawa mereka amat mementingkan waktu ini sepertimana yang dilakukan oleh Said bin Jubair RA,” jelas beliau.
Kepada satu soalan, Ustazah Sharifah Fadylawaty menjawab: “Tradisi masyarakat kita dengan memberikan infak setiap Jumaat, insya-ALLAH termasuk sebagai amalan yang baik.
“Pada hemat saya, amalan bersedekah itu tidak sewajarnya dibatasi pada hari Jumaat sahaja. Malah, digalakkan untuk dilakukan pada setiap masa yang kita berkesempatan melaksanakannya.
“Ini kerana Islam menggalakkan kita untuk sentiasa berlumba-lumba dan bersegera melakukan kebaikan. Jangan menangguhkan perkara baik kerana kita tidak pernah tahu apa yang akan berlaku kelak. Bagaimanapun, kita disarankan untuk melipatgandakan lagi amalan bersedekah pada hari Jumaat, berbanding hari lain.
“Sesungguhnya, amalan bersedekah juga tidak mengurangkan harta, sebaliknya menambah harta dan menjauhkan kefakiran, kekurangan dan juga kesempitan hidup,” katanya.